Sarawak boleh dijadikan contohbidang TVET

SIBU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Patinggi Ahmad Zahid Hamidi menyatakan sokongannya terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai aliran baharu di dalam sistem pendidikan negara.

Katanya, sebelum ini bidang TVET merupakan pilihan kedua atau ketiga bagi mereka gagal di dalam bidang akademik.

“Namun, Sarawak telah menggantikannya sebagai pilihan pertama anak-anak muda untuk mendapatkan pelajaran.

“Inilah yang dijadikan contoh dan kemajuan ini saya yakin adalah kerana kepimpinan baik Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari,” katanya semasa berucap pada majlis sambutan Pra Gawai Parti Rakyat Sarawak (PRS) 2024, malam tadi.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu menegaskan, selagi diberikan amanah oleh Perdana Menteri Dato Sri Anwar Ibrahim untuk menjaga Kementerian Pembangunan Desa dan Wilayah, beliau akan memberikan keutamaan kepada kemajuan infrastruktur di luar bandar Sarawak.

“Meskipun bukan terletak di bawah tanggungjawab kementeriannya, saya akan meminta Kerajaan Pusat bersama-sama kerajaan negeri membantu memajukan rumah-rumah panjang yang uzur, musnah kerana kebakaran atau dilanda banjir,” katanya.

Beliau berkata, kestabilan politik telah membawa banyak pembangunan dan kemajuan di Sarawak.

“Di antaranya ialah pembangunan dan kemajuan tersebut ialah pengenalan teknologi hidrogen. Tidak ada negeri lain di Malaysia yang mempunyai tujuh institusi TVET seperti di Sarawak yang mengajar bidang teknologi seperti internet of things (IoT), robotik dan teknologi baharu.

“Saya berkata demikian bukan hendak memperbandingkan Sarawak dengan negeri-negeri lain, hakikatnya ialah apabila kestabilan politik dapat dicapai dengan baik nama Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bukan hanya terkenal di Malaysia malah di luar negara,” ujarnya.

Turut hadir ialah Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang dan presiden PRS, Datuk Joseph Salang Gandum.