KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima kunjungan hormat daripada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di kediaman rasmi beliau di sini hari ini.
Kunjungan berkenaan merupakan prosedur rasmi yang dilaksanakan secara berkala sebelum Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) diadakan selaras amalan pentadbiran serta peruntukan Perlembagaan Sarawak.
Dalam pertemuan yang berlangsung hampir satu jam itu, Premier Sarawak menyampaikan taklimat berkaitan kertas-kertas pertimbangan serta agenda utama yang akan dibentangkan dalam mesyuarat MMKN.
Kedua-dua tokoh berpengalaman itu turut bertukar pandangan mengenai perkembangan semasa pelaksanaan dasar dan inisiatif kerajaan negeri, termasuk perkara-perkara strategik berkaitan pembangunan serta kesejahteraan rakyat Sarawak.
