BINTULU: Persatuan Anaq Va’ie Bintulu (PAVB) menyifatkan tindakan Kerajaan Sarawak membawa isu hak petroleum Sarawak ke Mahkamah Persekutuan sebagai langkah tepat.
Presiden PAVB, Pandi Suhaili berkata pihaknya berikutan itu menyokong penuh keputusan Kerajaan Sarawak memfailkan petisyen ke Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan penentuan kesahihan serta pemakaian berterusan undang-undang persekutuan berkaitan petroleum.
Antaranya Akta Pembangunan Petroleum 1974, Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966 yang didakwa memberi kesan terhadap hak Sarawak ke atas sumber asli, termasuk minyak dan gas di dasar laut pelantar benua.
“Tindakan mendapatkan penentuan Mahkamah Persekutuan adalah wajar bagi memastikan kejelasan undang-undang serta melindungi kepentingan dan hak sah negeri serta rakyat Sarawak,”katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pandi Suhaili berkata PAVB dan masyarakat Va’ie di sini berdiri teguh di belakang Kerajaan Sarawak dalam mempertahankan hak berkenaan, memandangkan Bintulu antara kawasan utama pengeluaran minyak dan gas di negeri ini serta menggesa rakyat Sarawak menyokong usaha ini.
