UNIMAS berhasrat tawar program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan bahasa Iban

KUCHING: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berhasrat menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dalam bahasa Iban dalam usaha menangani masalah kekurangan guru Bahasa Iban di negeri ini.

Menurut Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit, program berkenaan dicadang untuk ditawarkan kepada pelajar semester pertama bagi sesi 2025/2026.

”UNIMAS juga akan menambah satu lagi program Bahasa Iban iaitu Bahasa Iban untuk Profesion Komunikasi sebagai kursus elektif dan akan ditawarkan kepada semua pelajat pada semester pertama 2024/2025,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di pejabatnya, di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau juga memaklumkan bahawa UNIMAS juga merancang menubuhkan Jabatan Bahasa-Bahasa Borneo yang akan merangkumi Bahasa Iban, Bidayuh, Melanau dan dialek Melayu Sarawak.

Hadir sama ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS, Tan Sri Datuk Panglima Sulong Matjeraie, Timbalan Naib Canselor ( Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts Dr Al- Khalid Othman, Dekan Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi, Profesor Dr Ambigapathy Pandan, pensyarah Bahasa Iban, Dr Remmy Gedat dan Pensyarah, Pendidikan Fakulti, Bahasa dan Komunikasi, Dr Santrol Abdullah.