Wisma Melayu Sarawak dijangka siap suku ketiga 2025

KUCHING: Pembinaan Wisma Melayu Islam, mercu tanda baharu terletak di Jalan Diplomatik, Petra Jaya di sini dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga 2025.

Perkara itu dikongsikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang berkata, bangunan tersebut sepatutnya siap pada Julai ini mengikut jadual asal.

Namun, terdapat penambahbaikan terhadap rekaan bangunan tersebut atas nasihat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Sebenarnya Wisma Melayu ini dijangka siap pada Julai ini, tetapi apabila kita mengadakan taklimat berhubung kemajuan bangunan ini, kita lihat dari jauh memang cantik dan bagus mengikuti reka bentuk tengkolok. Tetapi, kalau kita tengok dekat, macam di rumah.

“Premier Sarawak nasihatkan supaya perbaiki dan disebabkan itu berlaku kelewatan.

“Insya-Allah kita mempunyai sasaran supaya Wisma Melayu ini akan dapat siap pada suku ketiga tahun ini,” katanya berucap dalam Majlis Samarindok Aidil Fitri 1446/2025m Anjuran Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) di sini malam ini.

Hadir sama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Premier Sarawak dan isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

Tambah Awang Tengah, pembinaan Wisma Melayu ini akan menjadi satu mercu tanda bagi masyarakat Melayu Sarawak dan simbol usaha memperkasa budaya serta warisan bangsa.

Jelasnya, ia akan dilengkapi dengan sebuah dewan serbaguna yang mampu menampung seramai 2,000 orang dan sesuai digunakan untuk pelbagai majlis seperti perkahwinan dan acara rasmi.

Selain itu, ia turut menempatkan galeri atau muzium Melayu Sarawak serta pusat informasi dan pendidikan berkaitan sejarah dan kebudayaan Melayu.

“Dengan siapnya wisma ini kelak, ia akan menjadi simbol perjuangan, pencapaian dan masa depan yang lebih cemerlang buat masyarakat Melayu di Sarawak,” katanya lagi.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar; Barisan Menteri dan Timbalan Sarawak; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan Pengerusi AKYBMS, Dato Sri Naroden Majais, Pengurus Besar Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS), Datu Dr Sanib Said serta dif kenamaan yang lain. -UKAS

GAMBAR: FB Sarawakku