10 projek RTB dilaksana di Sarawak

KUALA LUMPUR: Sebanyak 10 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM3.34 bilion sedang berada dalam pelbagai peringkat pelaksanaan di Sarawak, kata Timbalan Perdana Menteri.

Datuk Amar Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, bagi pendekatan struktur pula, PETRA melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan projek RTB yang merangkumi pembinaan struktur mitigasi seperti ban sungai, tembok banjir, kolam takungan, pintu kawalan air serta sistem pam.

PETRA melalui JPS sedang melaksanakan pelbagai langkah mitigasi banjir secara bersepadu di kawasan berisiko tinggi di Pantai Timur, Sabah dan Sarawak dengan mengambil kira faktor perubahan iklim yang semakin mencabar, katanya dalam sesi soaljawab pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Fadillah memberitahu dewan, dari segi pendekatan bukan struktur, PETRA melalui JPS melaksanakan perancangan bersepadu menerusi Pelan Induk Tebatan Banjir (PITB).

“Bilangan PITB akan terus ditingkatkan berdasarkan tempoh sah pelan perubahan guna tanah, pertumbuhan penduduk, serta peningkatan kekerapan dan intensiti hujan semasa,” tegas beliau dan menambah, sebanyak 12 PITB lagi dilaksanakan di Sabah dan Sarawak.

Sebagai penambahbaikan, reka bentuk projek-projek RTB kini mengambil kira faktor perubahan iklim dalam pengiraan teknikal, katanya.

Menurut Fadillah, pendekatan ini bertujuan memastikan setiap projek yang dilaksanakan lebih berdaya tahan dan mampu menampung impak perubahan iklim pada masa hadapan.

Selain itu, katanya, bagi mengurangkan risiko banjir termenung khususnya di kawasan rendah, JPS telah menempatkan sebanyak 606 unit pam bergerak di seluruh negara yang melibatkan aset JPS Negeri dan JPS Malaysia.

Secara keseluruhannya, Fadillah berkata, pelaksanaan langkah-langkah ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh daya tahan negara terhadap perubahan iklim serta memastikan pengurusan banjir yang lebih sistematik, menyeluruh dan berkesan di kawasan berisiko tinggi.