Kerajaan Sarawak, Persekutuan perkukuhkan sinergi kebajikan sosial

PUTRAJAYA: Kerajaan Sarawak terus memperkukuhkan agenda penyampaian perkhidmatan kebajikan dan kesejahteraan sosial menerusi pendekatan kerjasama strategik bersama Kerajaan Persekutuan dalam usaha memastikan bantuan kepada rakyat dilaksanakan secara lebih terselaras dan efektif.

Usaha itu diteruskan menerusi kunjungan hormat delegasi Kerajaan Sarawak diketuai Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Dr Maziah Che Yusoff, di sini hari ini.

Selain hubungan institusi antara kedua-dua pihak, kunjungan tersebut juga menjadi platform penting bagi membincangkan usaha mempererat sinergi antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak dan KPWKM, khususnya dalam mempertingkat keberkesanan penyampaian perkhidmatan kebajikan kepada kumpulan sasar di seluruh negeri.

Dalam perbincangan itu, kedua-dua pihak turut meneliti aspek penyelarasan dasar, pemantapan tadbir urus serta pengurusan sumber manusia.

Ini termasuk perkongsian amalan terbaik dalam pelaksanaan program kebajikan di peringkat negeri dan Persekutuan, agar bantuan yang disalurkan lebih komprehensif, inklusif serta menepati keperluan semasa rakyat.

Melalui kerangka kerjasama yang lebih tersusun ini, komitmen bersama dizahirkan bagi memastikan agenda pembangunan sosial dapat dilaksanakan secara lebih efektif dan mampan.

Ia selaras dengan aspirasi kesejahteraan rakyat di peringkat negeri dan nasional.

Turut hadir ialah Pengarah JKM Sarawak Semawi Mohamad dan Ketua Bahagian Kesejahteraan Sosial Nurin Chunggat.

Manakala, mewakili KPWKM ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Datin Safida Zalma Mohd Piah dan Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Ungku Mariam.