KUCHING: Peranan seorang mufti bukan sekadar mengeluarkan fatwa, tetapi menjadi rujukan ummah, penunjuk arah kefahaman agama serta suara hikmah dalam memastikan keseimbangan antara tuntutan syariah dan realiti masyarakat yang sentiasa berkembang.
Timbalan Menteri diJabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, di bawah kepimpinan mantan Mufti Sarawak Datu Kipli Yasin, institusi kefatwaan Sarawak terus diperkukuh sebagai badan yang dihormati, berwibawa dan diyakini masyarakat.
“Sumbangan beliau (Kipli) bukan sahaja terserlah dalam aspek pengeluaran hukum dan pandangan syarak, malah turut memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan kesederhanaan Islam,” katanya semasa menghadiri majlis serah dan terima tugas Mufti Sarawak di Dewan Kompleks Islam Sarawak pagi ini.
Tambahnya, mantan mufti turut memelihara keharmonian masyarakat majmuk serta menyumbang kepada pembangunan ummah yang berteraskan ilmu dan kebijaksanaan.
Segala pengalaman, kebijaksanaan serta panduan yang telah dicurahkan sepanjang perkhidmatan beliau pastinya akan terus menjadi legasi berharga kepada institusi Islam di negeri ini,” katanya.
Dr Abdul Rahman turut merakam ucapan tahniah dan selamat menjalankan amanah kepada Mufti Sarawak baharu, Datu Khalidi Ibrahim.
Beliau turut berharap Mufti baharu dapat mengalas amanah yang diberikan kerana ia tanggungjawab besar yang menuntut kebijaksanaan, ketegasan berpaksikan ilmu serta keupayaan memimpin masyarakat dalam menghadapi cabaran semasa yang semakin kompleks.
Dengan pengalaman, keilmuan serta kewibawaan yang dimiliki Khalidi, diyakini beliau mampu meneruskan kesinambungan kecemerlangan institusi kefatwaan Sarawak ke tahap yang lebih gemilang.
