1,100 pelajar terima beg, pakaian sekolah di DUN Kuala Rajang

SARIKEI: Sebanyak 19 sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang menyertai Program Kembali Ke Sekolah membabitkan penyerahan beg dan pakaian sekolah, di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, program membabitkan seramai 243 orang penerima bagi Zon Tanjung Manis dan 857 orang penerima bagi Zon Sarikei.

“Jumlah keseluruhan sebanyak 1,100 orang penerima termasuk murid golongan asnaf,”katanya yang menyempurnakan majlis penyerahan terbabit di Dewan Masyarakat Belawai dan di Rumah Rehat, Sri Nyelong Sarikei di sini.

Len Talif merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata, penyerahan ini bertujuan meringankan beban ibu bapa kepada murid dan pelajar yang bakal kembali bersekolah.

Hadir sama, Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir. Yusuf Abd Wahab, Penghulu Belawai, Kelali Klen, Penghulu Sarikei, Mostapha Hamdan.