16 projek Kerajaan Sarawak di Kapit ditender tahun ini

KAPIT: Kerajaan Sarawak membiayai pelaksanaan sejumlah 40 projek membabitkan peruntukan sebanyak RM1.233 bilion di Bahagian Kapit.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sebanyak 19 projek terbabit telah disiapkan manakala lima projek lagi bernilai RM116 juta termasuk jalan dan jambatan sedang dalam fasa pembinaan.

“Baki 16 projek bernilai RM721 juta akan dijangka tender dalam tahun ini. Ini adalah komitmen Kerajaan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Pecah Tanah Jalan Nanga Ibau/Ulu Sungai Ibau Bahagian Kapit, di sini, hari ini.

Mengulas tentang projek Jalan Nanga Ibau/Ulu Sungai Ibau Bahagian Kapit, Uggah berkata projek tersebut bernilai RM99.9 juta melibatkan pembinaan jalan sepanjang 12.5 kilometer bermula sejak 5 Mei 2025 hingga tahun 2028.

“Projek ini dijangka memberi manfaat secara langsung kepada11 rumah panjang dengan jumlah 219 pintu, dan hampir 1,900 penduduk,” tambahnya.

Katanya, projek itu menyediakan akses lebih baik ke Klinik Kesihatan Nanga Ibau, SK Nanga Ibau, dan SK Nanga Segenok.

Turut hadir Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram, Datuk Jefferson Jamit Unyat, ADUN Pelagus, Wilson Nyabong Ijang, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Dr Cassidy Morris.