180 peserta sambut Hari Wanita Daerah Bintulu 2025

BINTULU: Kejayaan seorang pemimpin, tokoh profesional mahupun insan biasa sering kali berakar dari kekuatan dan pengorbanan seorang wanita sama ada ibu, isteri mahupun pendidik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, ini termasuk beliau sendiri yang ada mempunyai seorang ibu.

“Saya berdiri di sini hari ini kerana adanya seorang wanita bergelar ibu. Tanpa doa dan restu beliau, saya mungkin tidak akan sampai ke tahap ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis sambutan Hari Wanita Peringkat Daerah Bintulu 2025 di Hotel ParkCity Everly, di sini, hari ini.

Majlis itu menghimpunkan kira-kira 180 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat dan dianjurkan Pejabat Daerah Bintulu.