KUCHING: Sebanyak 352 soalan diterima daripada 43 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 mulai 6 hingga 15 Mei ini.
Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, sesi soal jawab soalan akan diadakan selama empat hari mulai 7 hingga 10 Mei 2024.
“Ini merangkumi sebanyak 267 jawapan lisan dan sebanyak 85 jawapan bertulis,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Prapersidangan DUN Ke-19 dipengerusikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di sini, hari ini.
Mohamad Asfia berkata, sebanyak lima Rang Undang-Undang (RUU) juga akan dibentangkan menteri bertanggungjawab pada mesyuarat terbabit pada 7 Mei selepas sesi soal jawab.
Menurutnya, antaranya RUU Perbekalan Tambahan (2023) 2024; RUU Perbekalan Tambahan (2024) 2024; RUU Lembaga Pelabuhan Sarawak 2024; RUU Perlindungan Kesihatan Awam (Pindaan) 2024; dan RUU Perbadanan Perhutanan Sarawak (Pindaan) 2024.
Turut hadir, Timbalan Speaker DUN Sarawak Dato Idris Buang dan Setiausaha DUN, Nur Azhar Bujang.
