BINTULU: Kesedaran kepentingan kebersihan sungai sebagai sumber air perlu dimulakan dalam kalangan generasi muda Sarawak sejak kecil.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata ini kerana sungai memainkan peranan penting sejak zaman nenek moyang masyarakat di Sarawak sebagai laluan pengangkutan utama sebelum jalan raya, selain menjadi sumber air dan rezeki.
“Generasi muda perlu dididik untuk memahami bahawa memelihara kebersihan sungai adalah tanggungjawab bersama demi kelangsungan habitat dan sumber air kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Program Kesedaran Kebersihan Sungai ‘Friends of Rivers’ Batang Kemena anjuran Lembaga Sungai-Sungai Sarawak di Terminal Penumpang Bintulu, di sini, hari ini.
Iskandar sehubungan itu menyokong pandangan Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut), Datuk Henry Harry Jinep bahawa pendidikan kebersihan sungai dimulakan dari peringkat sekolah bagi memupuk rasa cinta terhadap alam sekitar sejak kecil.
“Sungai adalah nadi kehidupan, bukannya tempat membuang sampah atau sisa berbahaya,”katanya.
