Penterjemahan berkualiti penting kepada perkhidmatan AirBorneo

KUCHING: Bidang penterjemahan penting kepada pembangunan sektor penerbangan serantau termasuk perkhidmatan AirBorneo milik Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengaitkan kepentingan itu termasuk perkhidmatan AirBorneo yang bakal menghubungkan Sarawak dengan Singapura, Kuala Lumpur, Jakarta dan Hong Kong secara berperingkat.

“Penterjemahan berkualiti akan menjadi kunci kepada diplomasi budaya dalam kalangan penumpang pelbagai latar bahasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam sempena Persidangan Penterjemahan Antarabangsa Ke-20 di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, Sarawak juga mempunyai lebih 30 kumpulan etnik dengan bahasa dan dialeknya tersendiri dan penterjemahan turut menjadi mekanisme pemeliharaan khazanah linguistik dan budaya yang unik kepada negeri ini.

“Saya tidak melihat penterjemahan ini sekadar alat komunikasi, bahkan ia menjadi pemacu strategik kepada pelan-pelan pembangunan Sarawak dalam memudahkan kerjasama dengan pelabur asing,” katanya.

Sehubungan itu, Abang Johari turut merakamkan penghargaan kepada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), khususnya Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi selaku tuan rumah persidangan terbabit serta rakan penganjur iaitu Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

“Saya berharap ia dapat melahirkan lebih ramai penterjemah profesional, khususnya dari Sarawak, ke peringkat global,” ujarnya lagi.

Persidangan dwitahunan ini menghimpunkan ilmuwan, penterjemah profesional, penyelidik dan pencinta bahasa dari pelbagai negara bagi membincangkan peranan penterjemahan dalam dunia tanpa sempadan.