MTPMA63: Isu yang belum dipersetujui tidak diketepi, perlu diperhalusi – Fadillah

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang berlangsung di sini hari ini menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha memperkukuh kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

Dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof, pertemuan tersebut membuka ruang lebih luas kepada rundingan mengenai pelbagai tuntutan tertunggak melibatkan negeri di Borneo.

Selain isu pendidikan dan kesihatan yang menjadi fokus utama, mesyuarat ini turut menekankan aspek penyelarasan dasar serta peranan jawatankuasa teknikal sebagai platform rasmi bagi memastikan keputusan yang dicapai dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Keputusan itu bukan sahaja membabitkan soal pentadbiran, tetapi turut menyentuh tentang keperluan meningkatkan kapasiti sumber manusia serta memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam di peringkat negeri.

Menurut Fadillah, mesyuarat tersebut juga menjadi medan untuk menyemak semula perkembangan rundingan terdahulu di bawah MTPMA63.

Katanya, setiap isu yang belum dipersetujui tidak akan diketepikan, sebaliknya akan terus diperhalusi dalam jawatankuasa kerja di bawah kementerian berkaitan.

“Pendekatan ini, penting bagi mengelakkan keputusan terburu-buru yang boleh menjejaskan kepentingan jangka panjang Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan.

Kehadiran tokoh-tokoh utama daripada Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak, termasuk tiga Timbalan Premier Sarawak, jelas menunjukkan keseriusan semua pihak dalam mempercepatkan proses pelaksanaan tuntutan.

Tambah Fadillah, kerjasama erat antara pelbagai lapisan kepimpinan ini diharap dapat memastikan keadilan dalam pengagihan kuasa, peruntukan serta pembangunan di kedua-dua negeri.

Mesyuarat kali ini katanya, turut dianggap sebagai sesi pemurnian menjelang Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bilangan 1 Tahun 2025 yang dijadual dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kuching pada 12 September nanti.

“Justeru, segala perbincangan teknikal yang berlangsung hari ini dilihat sebagai asas penting bagi memudahkan keputusan yang lebih menyeluruh di peringkat tertinggi.

“Secara keseluruhannya, perkembangan positif ini memberi isyarat jelas bahawa tuntutan Sabah dan Sarawak bukan lagi sekadar retorik politik, sebaliknya diuruskan secara berstruktur melalui platform rasmi.

“Jika semua keputusan yang telah dipersetujui dapat dilaksanakan dengan baik, ia bakal membuka lembaran baharu dalam hubungan Persekutuan dengan Sabah dan Sarawak, sekali gus memperkukuh semangat Malaysia yang adil dan inklusif,” katanya.