Projek naik taraf SMV Bintulu siap lebih awal

BINTULU: Kementerian Kerja Raya (KKR) menyerahkan projek menaik taraf Sekolah Menengah Vokasional (SMV) Bintulu milik Kementerian Pendidikan (KPM), di sini, hari ini.

Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, projek itu berjaya disiapkan 49 hari lebih awal daripada tarikh siap asal.

“Projek bernilai RM21.509 juta ini dilaksanakan oleh Pasukan Projek Khas 2 (PPK2), JKR Malaysia. Ia dimulakan 4 Julai 2023 dan berjaya disiapkan pada 11 April 2025,” katanya dalam kenyataanya hari ini.

Beliau berkata, projek ini dilaksanakan secara Konvensional Perunding oleh kontraktor yang dilantik iaitu Asarajaya Sdn. Bhd dan antara skop utama projek melibatkan kerja-kerja cerucuk, Blok Seni Kulinari, Fesyen dan Kursus Kosmetologi.

Di samping itu, Blok Elektrik, Elektronik, CAD, Mock Office and Wiring, Blok Teknologi Automotif, Blok Pemesinan Industri, Blok Teknologi Pembinaan, Blok Teknologi Kimpalan, Built-in Furniture, Kerja-kerja Mekanikal dan Elektrik serta Kerja Luaran (Sivil).

“Pelaksanaan projek ini membuktikan usaha berterusan Kerajaan MADANI meningkatkan ekosistem pembelajaran dan pengajaran negara melalui pembinaan infrastruktur pendidikan moden, berkualiti dan kondusif yang menyokong kecemerlangan pelajar,”katanya.

Beliau juga meminta JKR Malaysia terus memantau dan bekerjasama dengan kontraktor dalam melunaskan tanggungjawab menyelesaikan aduan kecacatan dalam tempoh tanggungan kecacatan (DLP) selaras peraturan yang berkuatkuasa.