SEBUYAU: Loji janakuasa solar terapung termasuk kemudahan berkapasiti 50 megawatt di empangan Batang Ai akan beroperasi pada Disember tahun ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, loji tersebut hanya menggunakan tiga peratus permukaan empangan dan berpotensi untuk diluaskan ke kawasan lain seperti Murum dan Bakun.
“Inisiatif ini akan menarik ramai pelabur dari luar negara yang akan membantu Sarawak menjadi negeri berpendapatan tinggi pada masa akan datang,” katanya merasmikan Jerayawara Project Of Dream Realized (PRO-DR) edisi ke-10 2025 di Dewan Pembangunan Sebuyau di sini, hari ini.
Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau berkata, ini menunjukkan teknologi dan inovasi sekiranya digabungkan dengan keadaan geografi dan sumber yang ada di Sarawak akan memakmurkan ekonomi kelak.
“Bukan itu sahaja, ini juga membuktikan Sarawak berada pada landasan yang tepat untuk menjadi hab tenaga hijau di rantau ini dan menyumbang kepada Negara Malaysia sebagai ‘Bateri ASEAN,” tegas beliau.
Menurut Julaihi, kejayaan negara China sekarang semuanya bertitik tolak dari pelaburan, usaha serta inisiatif dalam sistem pendidikan mereka dari dahulu lagi.
Penekanan sistem pendidikan mereka kepada sistem yang lebih progresif untuk memfokus kepada Pendidikan STEM dan digital inilah yang memberi mereka lonjakan dalam pembagunan setiap industri, katanya.
Beliau menegaskan, tidak mustahil Sarawak boleh mencapai kemajuan pesat dengan adanya golongan belia yang berdaya saing serta telah dipersiapkan dengan ilmu pengetahuan dalam Pendidikan STEM dan Digital.
Inovasi digital pada zaman sekarang amat penting dalam memudahkan kehidupan seharian masyarakat, katanya.
Program PRO-DR itu dianjurkan bersama oleh Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT).
