Sarawak catat peningkatan kes keganasan rumah tangga

KUCHING: Sebanyak 552 kes keganasan rumah tangga telah dilaporkan di Sarawak pada 2024, meningkat sebanyak 75 kes berbanding 477 kes pada 2023.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, peningkatan ini membimbangkan dan memberi amaran bahawa keganasan rumah tangga boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira umur, jantina, pendapatan atau latar belakang.

“Menurut pecahan mengikut jantina, kes melibatkan lelaki meningkat sedikit daripada 178 kes pada 2023 kepada 181 kes pada 2024, manakala kes melibatkan wanita pula meningkat dengan ketara daripada 287 kes kepada 371 kes dalam tempoh sama,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Rosey Yunus, pada Majlis Penutupan Program Breaking The Silence: Violence Prevention di sini, hari ini.

Fatimah menekankan komitmen kerajaan negeri dalam menangani isu ini melalui pelbagai inisiatif, termasuk program “Know Your Rights” di bawah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) bagi mendidik masyarakat mengenai undang-undang dan sokongan berkaitan keganasan rumah tangga.

Selain itu, beliau menambah, One Stop Crisis Centre (OSCC) di semua jabatan kecemasan hospital di Sarawak menyediakan rawatan perubatan, bantuan polis dan sokongan psikososial, manakala Jabatan Bantuan Guaman Sarawak serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menawarkan khidmat bantuan guaman, perlindungan sementara dan pengurusan proses perintah perlindungan untuk mangsa.