KUCHING: Ordinan Pembangunan Perumahan (HDO) dan Ordinan Bangunan Perumahan dijangka dibentang pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan datang.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian berkata, ordinan tersebut penting bagi memastikan Sarawak terus seiring dengan keperluan semasa di samping memperkukuh autonomi negeri dalam urusan perumahan dan pembinaan.
“Saya telah dimaklumkan oleh Peguam Besar Negeri (SAG) bahawa Ordinan Pembangunan Perumahan dan Ordinan Bangunan akan dibentangkan pada persidangan akan datang.
“Kita mahu perkara ini dilaksanakan kerana banyak pihak berkepentingan termasuk Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA), Bomba dan Pertubuhan Arkitek Malaysia-Cawangan Sarawak memberi sumbangan dalam hal ini.
“Ini adalah perkembangan semasa serta mengukuhkan hak Sarawak di bawah autonomi,” katanya semasa berucap sempena Ekspo Hartanah SHEDA di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
