Sumbangan peruntukan jadi pemangkin pembangunan masyarakat – Safiee

DARO: Pemberian Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bukan sahaja menjadi dorongan kepada persatuan dan jawatankuasa untuk bergerak lebih aktif, malah turut berperanan sebagai platform dalam memperkukuh perpaduan masyarakat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, setiap inisiatif kecil yang dijalankan mampu membawa kesan besar sekiranya dilaksanakan dengan komitmen dan perancangan m teliti.

“Gunakan peruntukan ini dengan sebaiknya, laksanakan program atau aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat serta mampu meninggalkan kesan positif jangka panjang.

“Saya akan terus menyokong usaha persatuan, jawatankuasa dan biro yang terlibat demi kebaikan rakyat kawasan ini,” katanya semasa berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Geran MRP DUN N.43 Daro di bilik mesyuarat Pusat Khidmat DUN Daro, semalam.

Beliau berharap agar penerima dapat menjadikan sumbangan ini sebagai pemangkin kepada pembangunan sosial, kebudayaan, pendidikan, dan kemasyarakatan di kawasan Daro, sekali gus memastikan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.

Pada majlis tersebut, sebanyak 17 persatuan, jawatankuasa dan Bmbiro di bawah kawasan N.43 Daro menerima geran MRP dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM74,000.

Turut hadir ialah Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Matu Daro, Faizol Hashim, wakil Pegawai Daerah Daro, Mohammad Madzihi Mohd Musa, Kaunselor Hamden Taha dan Kaunselor Mohd Suffian Fauzi.