Sarawak tawarkan perkhidmatan kesihatan lebih cekap, berkualiti

BINTULU: Pembangunan hospital swasta di Sarawak semakin berkembang seiring dengan usaha negeri ini memperkukuh kualiti perkhidmatan kesihatan untuk rakyat.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelancaran semula Hospital Kemena Pasifik di Bintulu membuktikan komitmen Pusat Perubatan Borneo (BMC) dalam memperluas jenamanya, selepas bertapak di Kuching, Sibu dan Miri.

Menurutnya, langkah itu tidak hanya memperkukuh reputasi BMC sebagai jenama tempatan dalam sektor kesihatan swasta, tetapi juga melambangkan kesiapsiagaan Sarawak menyediakan rawatan yang lebih cekap, berkualiti dan dipercayai.

“Hospital ini menjadi bukti bahawa Sarawak berupaya menyediakan perkhidmatan kesihatan bertaraf tinggi melalui penglibatan sektor swasta. Tahniah kepada kumpulan ini kerana berjaya memperluaskan operasi mereka ke seluruh negeri,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran semula hospital berkenaan, hari ini.

Abang Johari menambah, pembukaan hospital baharu itu seiring dengan pertumbuhan pesat Bintulu yang menarik banyak pelaburan asing.

Keperluan tenaga kerja khususnya dalam industri berteknologi tinggi menuntut sokongan perkhidmatan kesihatan moden dan menyeluruh, katanya.

Katanya, hospital tersebut bakal menjadi tonggak utama dalam landskap kesihatan Sarawak dengan pelaburan bernilai RM100 juta, menawarkan 14 bidang kepakaran seperti ortopedik, ENT, pediatrik, perubatan dalaman, radiologi, pembedahan am serta psikologi klinikal yang disokong oleh 140 kakitangan profesional.