Jalan balak akan dinaik taraf

BELAGA: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan sebanyak RM38 juta untuk membaik pulih jalan rosak akibat hujan lebat dan tanah runtuh di negeri ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, peruntukan itu termasuk membaik pulih jalan Menjawah-Belaga dan Lusong Laku.

Dalam pada itu, Kerajaan Sarawak komited menaiktaraf jalan balak dan bekas jalan balak di seluruh negeri untuk kemudahan penduduk pedalaman, katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Komuniti sempena Program XPDC 2.0 Turun Padang ke Daerah Belaga dan Murum di Dewan Masyarakat Belaga, malam tadi.

Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, menaik taraf jalan balak dan bekas jalan balak akan memastikan kemudahan infrastruktur luar bandar dapat diselenggara dengan lebih baik untuk kesejahteraan rakyat.

Jalan balak yang dinaik taraf dan diklasifikasikan sebagai jalan negeri boleh didaftarkan di bawah Malaysian Road Records Information System (MARRIS), seterusnya membolehkan peruntukan penyelenggaraan disalurkan dengan lebih teratur, katanya.

“Jika jalan-jalan ini dinaik taraf, lebih banyak peruntukan dapat diagihkan untuk memastikan penduduk luar bandar menikmati akses jalan yang lebih baik,” katanya.

Beliau menambah, daripada 5,297 kilometer jalan balak di Sarawak, 3,293 kilometer masih aktif digunakan.

Beliau menzahirkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang sentiasa menitikberatkan pembangunan luar bandar menerusi penubuhan agensi pembangunan wilayah seperti Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) selain memperkenalkan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) yang menjadi contoh unik di Malaysia.

Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil pelantikan kepada tiga Ketua Kaum baharu, 23 penerima sijil pelanjutan lantikan serta seorang penerima sijil penghargaan.