KUALA LUMPUR: Sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) sedia ada berasaskan pengkomputeran awan, sedang dilaksanakan secara berfasa dengan skala yang besar, kecepatan yang tinggi dan kos yang rendah.
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, Kementerian Kesihatan merancang untuk memperluaskan sistem EMR ke 200 klinik kesihatan manakala 16 hospital akan didigitalkan pada 2026.
“Pelaksanaan ini merupakan langkah strategik ke arah merealisasikan visi satu individu satu rekod dan mempercepatkan pendigitalan sektor kesihatan negara ke tahap yang lebih tinggi.
“Sehingga kini, status pelaksanaan EMR menunjukkan sebanyak 22 daripada 150 hospital, 275 daripada 1,118 klinik kesihatan dan 78 daripada 682 klinik pergigian telah menggunakan sistem sepenuhnya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee semasa Persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, Bagi klinik kesihatan, pelaksanaan Cloud Based Clinic Management System CCMS telah merekodkan peningkatan sebanyak 150% pendigitalan hasil daripada strategi pelaksanaan menggunakan EMR sedia ada berasaskan pengkomputeran awam yang pantas, berskala besar, kos rendah dan berimpak tinggi.
Dengan pelaksanaan CCMS, masa menunggu untuk berjumpa pegawai perubatan telah berkurang dengan ketara, jelas Lukanisman.
“Data menunjukkan 70% pesakit kini dapat berjumpa pegawai perubatan dalam tempoh purata 30 minit, manakala baki 30% dalam masa 60 sehingga 90 minit bergantung kepada tahap kes dan beban kerja klinik.
“Kejayaan ini membuktikan keberkesanan CCMS dalam mempercepatkan proses pendaftaran, triage dan pengurusan pesakit, sekaligus mengurangkan kesesakan serta meningkatkan kepuasan pesakit,” jelasnya lagi.
Katanya, selain mempercepatkan perubatan di kaunter, CCMS turut memudahkan perkongsian maklumat antara fasiliti kesihatan, memastikan kesinambungan rawatan pesakit yang lebih baik, mengurangkan risiko kehilangan rekod perubatan manual serta meningkatkan ketepatan data perubatan yang direkodkan.
Malah jelasnya, keselamatan data pesakit juga terjamin kerana semua maklumat disimpan dan disandarkan di pelayan berasaskan awan yang mematuhi piawaian keselamatan siber kerajaan. – UKAS
