SIBU: Sokongan keluarga dan komuniti menjadi elemen penting membantu bekas banduan membina semula kehidupan serta mengurangkan risiko kembali terjebak dengan kesalahan lampau.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, proses pemulihan selepas keluar dari penjara sangat bergantung pada penerimaan keluarga, masyarakat, agensi kerajaan dan majikan.
“Unconditional love daripada keluarga akan memberi keyakinan kepada mereka untuk memulakan hidup baharu.
“Kalau bukan keluarga, siapa lagi yang akan memberi sokongan dan kasih sayang?” katanya ketika merasmikan Program Outreach Korektif 2025 dan My Pride Fair Zon Sarawak di pekarangan pusat beli-belah Farley di sini, semalam.
Beliau menjelaskan, Sarawak merupakan satu-satunya negeri menubuhkan One Stop Committee (OSC) dengan penglibatan pelbagai agensi bagi menangani isu dadah serta pemulihan sosial.
Katanya, kadar ‘residivisme’ atau jenayah berulang di Sarawak kini berada pada tahap terendah di negara ini hasil pelaksanaan usaha bersepadu selain dorongan berterusan daripada keluarga dan masyarakat.
