Produk barangan halal berkembang pesat peringkat global

KUCHING: Kerajaan melihat permintaan produk barangan pengguna yang diperakui halal sedang berkembang pesat di peringkat global.

Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, ini memandangkan perbelanjaan pengguna Islam untuk makanan halal diunjurkan mencecah AS$1.38 trilion menjelang 2024.

“Golongan muda yang akan membentuk 60 peratus daripada dua bilion penduduk Islam menjelang 2030, dan ia mempengaruhi lonjakan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis Makan Tengahari dan Anugerah Sempena Forum Perniagaan Islam Global 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.

Fadillah berkata, Kerajaan sehubungan itu dalam pensijilan halal telah memperkasakan usaha untuk memastikan barangan pengguna termasuk kosmetik dan makanan memenuhi piawaian halal tertinggi.

Katanya, komitmen ini telah menggalakkan pemain utama sektor barangan pengguna terbabit untuk melabur dalam barisan pengeluaran tempatan sekali gus memastikan produk di negara ini dipercayai di peringkat global.