Hargai sumbangan penjawat awam, Kerajaan Sarawak umum bonus

KUCHING: Kerajaan Sarawak mengumumkan pembayaran bantuan khas kewangan sebanyak dua bulan gaji kepada penjawat awam Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mengumumkan berita baik itu berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) amat menghargai sumbangan penjawat awam Sarawak dalam melaksanakan mandat dan menggalas tanggungjawab dengan penuh amanah demi kesejahteraan rakyat.

“Bagi menghargai jasa penjawat awam, sukacitanya saya mengumumkan pembayaran bantuan khas kewangan kepada semua anggota perkhidmatan awam Sarawak termasuk badan berkanun Sarawak, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Sarawak sebanyak dua bulan gaji pokok mereka,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, pembayaran itu akan dibuat sebelum penghujung tahun 2023.

Katanya, dianggarkan seramai 28,000 anggota perkhidmatan awam Sarawak akan menerimanya serta melibatkan anggaran perbelanjaan dan implikasi kewangan sebanyak RM172 juta.

Beliau juga mengumumkan bantuan khas kewangan sejumlah RM600 diberikan kepada semua anggota perkhidmatan awam Persekutuan yang berkhidmat di Sarawak sepanjang tahun ini.

“Mereka terdiri daripada lebih kurang seramai 130,000 anggota perkhidmatan awam Persekutuan, termasuk badan beruniform, anggota keselamatan dan badan berkanun Persekutuan tertentu,” tambahnya.

Beliau berkata, ini dijangka melibatkan anggaran implikasi kewangan sebanyak RM78 juta dan akan dibayar pada awal tahun hadapan.