KUCHING: Sarawak Energy menerima Permit Kajian Karbon Dataran Seping (CSP) daripada Jabatan Hutan Sarawak, sekali gus membolehkan syarikat utiliti itu memulakan kajian kebolehlaksanaan projek Nature-based Solutions (NbS) di kawasan tadahan kuasa hidro.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili berkata, projek NbS dijangka menghasilkan lebih 250,000 unit kredit karbon bagi mengimbangi pelepasan sektor tenaga dan menyokong sasaran sifar bersih menjelang 2050.
“Permit ini mengukuhkan komitmen kami terhadap kelestarian, melindungi sumber air, memulihara biodiversiti serta memberi nilai jangka panjang kepada komuniti,” katanya pada Forum Kelestarian & Tenaga Boleh Diperbaharui (SAREF 4.0), hari ini.
Selain itu, Sarawak Energy turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) selama lima tahun untuk mendapatkan kepakaran teknikal dan panduan strategik dalam pengurusan biodiversiti.
