KUCHING: Agensi-agensi di bawah Kerajaan Sarawak seperti Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), TVS dan kementerian-kementerian tertentu akan turun ke lapangan untuk mengadakan program libat urus dengan masyarakat akar umbi.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, ini bagi memberi penjelasan yang lebih terperinci tentang Belanjawan Sarawak 2024.
Menurutnya, antara tumpuan diberikan terhadap pelbagai inisiatif yang diperkenalkan oleh Kerajaan Sarawak terutamanya melibat kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
“Yakin bahawa program libat urus ini akan dilakukan pada tahun hadapan, contohnya jelajah ke setiap daerah seluruh Sarawak untuk memahami hala tuju kepimpinan Premier Sarawak tentang penambahan pendapatan, perbelanjaan dan sebagainya,” katanya.
Katanya, ramai wakil rakyat telah membawa masyarakat dari kawasan masing-masing untuk menyaksikan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 kali ini.
“Mereka yang hadir ini datangnya dari pelbagai pertubuhan, persatuan dan juga warga belia untuk melihat sendiri proses persidangan DUN dan wakil rakyat mereka berdebat dan sebagainya.
“Mereka juga dapat melihat sendiri Premier Sarawak membentangkan belanjawan yang berjiwa rakyat yang banyak menyumbang dana ke arah luar bandar,” kata beliau.