Sarawak mahu jadi peneraju ekonomi baharu

KUCHING: Sarawak bercita-cita untuk menjadi peneraju serantau dalam inovasi dan ekonomi yang dipacu teknologi.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, oleh itu Kerajaan Sarawak telah meminda Ordinan Hutan, Kanun Tanah dan menggubal Ordinan Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau) baharu 2023 bagi merealisasikan visi itu.

“Ordinan ini memberi kuasa kepada kami untuk mengawal selia, mengurus dan mempromosikan aktiviti berkaitan perdagangan karbon, penangkapan karbon, penggunaan dan penyimpanan (CCUS) dan perniagaan alam semula jadi, menjadikan Sarawak peneraju utama ekonomi baharu ini di Malaysia.

“Kami berhasrat untuk membentuk masa depan melalui inovasi bagi mengubah ekonomi kami ke arah kemakmuran, keterangkuman dan kemampanan selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 kami,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Penutupan Forum Perniagaan Muslim Global (GMBF) 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, di sini, hari ini.

Tambahnya, forum itu telah menyediakan platform utama kepada orang ramai untuk meneroka, mempelajari dan berkongsi amalan inovatif, cabaran dan peluang dalam pelbagai sektor ekonomi seperti teknologi digital, tenaga hijau, kewangan dan pertanian.