Influenza: Tidak ada sekolah ditutup

KOTA SAMARAHAN: Tiada sekolah di Sarawak ditutup susulan jangkitan Influenza setakat ini, namun situasi di institusi pendidikan sedang dipantau dengan teliti oleh pihak berkuasa.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapaee, berkata walaupun terdapat peningkatan kes Influenza di sekolah-sekolah, keadaan masih terkawal dan tidak memerlukan penutupan sekolah.

“Buat masa sekarang, tiada sekolah yang ditutup akibat wabak itu.

“Akan tetapi, tidak mustahil ada jangkitan penyakit berkenaan terutamanya di sekolah-sekolah.

“Tetapi, keadaan masih terkawal dan tidak menyebabkan kita untuk menutup sekolah, cuma dari segi pemantauan harus dipergiatkan untuk mencegah penyakit berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas Perasmian Konvensyen Steps di Arena Gemilang, DeTAR Putra, UNIMAS hari ini.

Dr Annuar menjelaskan, semua sekolah diberi garis panduan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi mengawal serta menangani penularan Influenza di peringkat sekolah.

Dalam pada itu, Dr. Annuar turut mengesahkan bahawa pelaksanaan Penilaian Program Dwibahasa (DLP) yang berlangsung pada 15 dan 16 Oktober ini tidak terjejas akibat situasi Influenza.

Keputusan peperiksaan dijangka diumumkan sebulan selepas tarikh peperiksaan, dan keputusan tersebut juga akan digunakan bagi Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) untuk tiga subjek.

Seramai 26,000 pelajar daripada lebih 1,000 sekolah rendah di seluruh Sarawak akan menduduki peperiksaan DLP tersebut.