KUCHING: Kerajaan Sarawak memperkenalkan Program Biasiswa Kepimpinan Wanita ASEAN bagi memperkukuh penyertaan wanita dalam kepimpinan dan politik negeri ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, tiga biasiswa disediakan untuk wanita Sarawak melanjutkan pengajian Sarjana Pembangunan Kepimpinan di ASEAN Women Leadership University College (AWLUC), Pulau Pinang.
Menurutnya, program itu diluluskan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sempena Hari Wanita 2025 sebagai usaha melahirkan pemimpin wanita yang berwawasan dan berdaya saing.
“Ini pelaburan penting untuk membina barisan wanita Sarawak yang berilmu, berkemahiran dan mampu memimpin,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak (MWKS) di Wisma Wanita, di sini, petang semalam.
Beliau berkata, program sepenuh masa selama setahun itu akan bermula Januari 2026 di kampus AWLUC di Universiti Sains Malaysia (USM) dengan pembiayaan biasiswa oleh Yayasan Sarawak. Kementeriannya akan memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama universiti berkenaan sebelum akhir tahun ini.
Fatimah menjelaskan, calon akan dipilih oleh jawatankuasa khas berdasarkan kelayakan dan komitmen. Mereka yang berijazah atau berpengalaman luas dalam kepimpinan boleh dipertimbangkan.
Beliau berkata, kerjasama dengan AWLUC memberi peluang kepada peserta untuk berinteraksi dengan pelajar dari pelbagai negara sekali gus memperkaya perspektif global wanita Sarawak dalam kepimpinan masa hadapan.
