KUCHING: Seramai 773 usahawan berjaya dilahirkan menerusi program pembangunan ekonomi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak.
Usahawan tersebut terdiri daripada penerima bantuan kebajikan di negeri ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kejayaan itu membuktikan bahawa program kebajikan bukan sekadar memberi bantuan kewangan, tetapi menjadi pemangkin transformasi ekonomi komuniti rentan ke arah kehidupan berdikari.
“Kerajaan komited dan serius melahirkan usahawan daripada penerima bantuan bulanan kebajikan melalui pemberian geran serta bimbingan secara berstruktur dan berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penutupan Rasmi Karnival Wellbest Sarawak 2025 hari ini.
Katanya, sejak pelaksanaan program itu pada 2020 hingga 2024, seramai 2,135 penerima bantuan menerima geran keusahawanan membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM10.6 juta.
Geran maksimum bernilai RM5,000 diberikan dalam bentuk peralatan kepada Ahli Isi Rumah (AIR) yang masih sihat dan produktif, bagi membantu mereka memulakan perniagaan kecil dan sederhana (PKS).
Menurut Fatimah lagi, peserta yang menerima geran akan dibimbing selama dua tahun, diwajibkan menghadiri kursus mengikut modul ditetapkan dan digalakkan menyertai aktiviti jualan seperti Karnival Wellbest yang berlangsung setiap tahun.
Setakat September 2025, sebanyak 81 peratus daripada sasaran 410 usahawan baharu diluluskan, manakala 117 usahawan berjaya dilepaskan melalui dua sesi Mesyuarat Panel Pelepasan yang diadakan tahun ini, ujarnya.
Tambah beliau, jumlah usahawan yang masih dalam bimbingan JKMS kini seramai 653 orang, dengan penglibatan aktif dalam pelbagai jualan dan karnival di peringkat daerah.
