Pusat Empangan Negara jamin keselamatan pengurusan empangan

KUCHING: Pusat Empangan Negara yang ditubuh di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan menjamin keselamatan pengurusan empangan seluruh negara, khususnya di Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pusat ini akan menggalakkan perkongsian pengetahuan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak untuk menyelaraskan pengurusan keselamatan, integrasi data dan pembinaan kapasiti dalam menguruskan infrastruktur air di negeri ini.

“Secara keseluruhan, Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), Pelan Transformasi Sektor Air 2040 (AIR2040) AIR 2040 dan Pusat Empangan Negara mencerminkan hala tuju yang sama.

“Peralihan tenaga dan transformasi air seiring dan keselamatan empangan menjadi jambatan yang menghubungkan kecemerlangan kejuruteraan dengan pembinaan negara yang mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki sempena Persidangan Pengurusan Keselamatan Empangan dan Kejuruteraan Antarabangsa Ketiga 2025 (ICDSME2025), di sini, hari ini.

Tambah Abang Johari, empangan yang selamat akan menjadi pemacu peralihan tenaga yang dinamik.

Katanya, Sarawak bergerak melangkaui hanya tenaga hidro dan menjadikan empangan sebagai platform tenaga hijau bersepadu.

“Loji Hidroelektrik Batang Ai kini menempatkan Ladang Solar Terapung Batang Ai iaitu pendekatan hibrid hidro-solar.

“Ini membolehkan kita mempelbagaikan sumber tenaga hijau tanpa meneroka tanah baharu, mengoptimumkan penggunaan tanah dengan menjana lebih banyak tenaga bersih dari satu tapak, serta meningkatkan pengurusan air,” katanya.