Isu teknikal halang pembangunan Tunoh berjaya diselesai

KAPIT: Isu teknikal yang sekian lama menghalang pembangunan di kawasan Tunoh akhirnya berjaya diselesaikan, sekali gus membuka laluan kepada pelaksanaan semula projek pembangunan di kawasan berkenaan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dengan selesainya segala urusan berkaitan, kerajaan negeri kini dapat meneruskan agenda pembangunan yang pernah dirancang sejak era kepimpinan mendiang Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing.

“Segala masalah yang tertangguh sudah dapat diselesaikan. Sekarang kita akan teruskan semula pembangunan di kawasan Tunoh,” katanya ketika berucap pada Majlis Merarau Bersama Komuniti Kapitdi sini, hari ini.

Menurutnya, antara projek utama yang akan dilaksanakan ialah pembinaan jalan baharu sepanjang tujuh kilometer menuju ke kawasan Tunoh bagi memastikan akses yang lebih baik dan menyokong pembangunan penempatan semula rumah panjang di kawasan itu.

Tunoh hanya boleh dibangunkan apabila ada jalan penghubung. Jadi, kerajaan telah meluluskan pembinaan jalan sepanjang tujuh kilometer bagi membuka kawasan tersebut dan memudahkan pelaksanaan penempatan semula, ujarnya.

Selain itu, Premier turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri turut meluluskan projek pembangunan jalan akses baharu antara Belaga dan Bakun termasuk pembinaan jeti bagi menyokong pelaksanaan projek tenaga solar di Bakun.

Abang Johari menambah sebuah kampung baharu juga akan dibangunkan di Kapit bagi memberi kemudahan perumahan lebih selesa kepada penduduk, khususnya mereka yang bergantung kepada sungai untuk menjalankan aktiviti harian.