KAPIT: Pelan Induk Kapit yang sedang dilaksanakan memberi tumpuan kepada peluasan bandar, mengurangkan kesesakan dan memperindahkan kawasan persekitaran untuk manfaat penduduk.
Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, pelan itu juga untuk mengatur pertumbuhan bandar secara tersusun dan mampan.
“Pendekatan itu mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat sambil memacu transformasi di wilayah tengah Sarawak,” katanya dalam ucapan aluannya sempena Majlis Pelancaran Simbolik Pejabat Baharu Agensi Pembangunan Hulu Rajang (URDA) di sini hari ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan majlis pelancaran simbolik pejabat baharu URDA itu.
Alexander Nanta yang juga Pengerusi URDA berkata, dengan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion bagi pembangunan di kawasan tersebut, sebanyak 41 projek diluluskan di bawah URDA.
Daripada jumlah itu, katanya, 19 projek telah siap dilaksanakan, manakala selebihnya sedang dijalankan pada pelbagai peringkat pelaksanaan.
Beliau berkata, kebanyakan projek itu melibatkan pembangunan jalan raya dan jambatan, di samping projek bekalan air, penyediaan pelan induk (masterplan), serta projek pemerolehan dan pengubahsuaian bangunan pejabat URDA itu sendiri.
Sejak penubuhannya, RECODA telah memainkan peranan penting dalam menggerakkan agenda pembangunan infrastruktur dan sosio-ekonomi yang inklusif di kawasan SCORE, tegas beliau.
Dengan kemudahan pejabat baharu ini, beliau berkata, pegawai-pegawai URDA akan dapat melaksanakan tugas dengan lebih efisien dan berkhidmat dengan lebih dekat kepada rakyat di kawasan itu.
Turut hadir Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, serta Timbalan-timbalan Menteri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak dan ketua-ketua jabatan.
