KAPIT: Kapit bakal muncul sebagai bandar moden baharu di Sarawak hasil pelaksanaan pelbagai projek pembangunan berimpak tinggi yang kini giat dijalankan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM1.96 bilion bagi projek bekalan air di bahagian ini selain menambah peruntukan bagi kemudahan elektrik dan sistem rawatan air.
Beliau berkata, beberapa projek utama di bawah Pelan Induk Pembangunan Kapit juga telah siap, termasuk pembinaan jalan akses utama seperti Jalan Merirai bernilai RM120 juta dan Jalan Tunoh sepanjang tujuh kilometer (KM) yang bakal membuka peluang pembangunan baharu di pedalaman.
“Kerajaan memberi tumpuan untuk menyelesaikan isu asas penduduk luar bandar agar mereka menikmati kemudahan setara dengan masyarakat bandar,” katanya pada Majlis Merarau Bersama Komuniti di Dewan Suarah Kapit, hari ini.
Abang Johari turut menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak kini menumpukan usaha pembangunan dan peningkatan taraf hidup rakyat, bukan politik.
Beliau berkata, jaringan jalan raya yang sedang dibangunkan di seluruh negeri termasuk laluan dari Miri ke Limbang akan memperkukuh hubungan antara bandar dan kawasan luar bandar serta merancakkan ekonomi pedalaman.
Menurutnya, selepas penyediaan infrastruktur asas, fokus pembangunan akan beralih kepada aspek sosioekonomi bagi meningkatkan pendapatan rakyat.
“Kerajaan negeri juga akan menyediakan pendidikan universiti percuma mulai tahun depan bagi melahirkan modal insan berkualiti,” ujarnya.
Beliau menambah, Kapit berpotensi menjadi bandar hijau pertama di Sarawak yang mesra pejalan kaki dan menekankan kelestarian alam sekitar, selaras dengan visi pembangunan mampan negeri itu.
Turut hadir, Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Menteri Digital merangkap Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong, serta Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi.
