Premier Sarawak selamat tiba di Tokyo, terima pingat tertinggi Jepun Selasa ini

TOKYO: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selamat tiba di Tokyo, Jepun bagi memulakan lawatan kerja rasmi dua hari.

Semasa lawatan itu, Premier Sarawak bakal menerima pengiktirafan tertinggi daripada Maharaja Naruhito iaitu The Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star pada Selasa ini.

Ketibaan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Jepun pada jam 8.50 malam Ahad waktu tempatan disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Jepun, Dato’ Shahril Effendi Abd Ghany.

Manakala, ketibaan beliau di hotel penginapan disambut oleh Pengarah Jabatan Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad serta rombongan lain.

Premier Sarawak dijadual menyampaikan amanat sempena ulang tahun ke-30 jalinan kerjasama antara Japanese Malaysia Association (JMA) dan Jabatan Hutan Sarawak, satu simbol hubungan erat yang terjalin sejak tiga dekad lalu antara kedua-dua pihak dalam projek pemulihan hutan hujan tropika.

Kemuncak lawatan kerja rasmi di Tokyo ialah apabila Premier Sarawak akan dianugerahkan The Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star daripada Maharaja Naruhito sebagai pengiktirafan atas sumbangan besar beliau dalam memperkukuh hubungan strategik antara Jepun dan Malaysia.

Abang Johari antara penerima Autumn Imperial Decorations 2025 yang diumumkan Kerajaan Jepun sebelum ini.

Anugerah berprestij itu diberikan sebagai tanda penghargaan terhadap usaha luar biasa beliau dalam menggalakkan pertukaran serantau serta memperkukuh persefahaman dua hala antara Jepun dan Malaysia.

Premier Sarawak memainkan peranan penting dalam memajukan kerjasama ekonomi dan tenaga, khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui seperti hidrogen dan amonia, di samping memperkukuh hubungan dengan syarikat-syarikat utama Jepun bagi menjamin keselamatan tenaga jangka panjang menerusi pembekalan gas asli cecair (LNG) yang stabil.

Selain itu, beliau turut menerajui pelbagai inisiatif bersama universiti dan organisasi Jepun dalam bidang pemuliharaan hutan, biodiversiti serta pembangunan lestari selaras dengan agenda Sarawak sebagai negeri berasaskan tenaga hijau.

Dedikasi dan kepimpinan beliau turut memperkukuh pertukaran akademik serta belia sekali gus meletakkan asas kukuh bagi persahabatan dan kerjasama jangka panjang antara Jepun dan Sarawak.- UKAS