KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) memaklumkan perpaduan bukan dibina dengan slogan tetapi dibina dengan sokongan, dengan sumber dan dengan kejujuran politik.
Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu Begri berkata, apa yang berlaku di Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) Bahagian Betong adalah cerminan kegagalan sistematk dasar perpaduan di peringkat akar umbi.
Pegawai terlalu sedikit, dana terlalu kecil, kemudahan tidak mencukupi tetapi kerajaan terus melaungkan ’Perpaduan Madani’ di pentas besar, katanya dalam perbahasan Belanjawan 2026 Jawatankuasa; Kementerian Perpaduan Negara (KPN) pada persidangan Dewan Rakyat di sini.
Justeru, beliau mendesak kerajaan menambah bilangan pegawai dan staf sokongan JPNIN dan membina segera Pusat Aktiviti Perpaduan (PAP) di Betong
Beliau juga mencadangkan supaya geran kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dinaikkan sekurang-kurangan RM12,000 setahun dan menetapkan saguhati khas kepada anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang aktif.
“Kalau kerajaan benar-benar mahu rakyat bersatu, maka buktikanlah perpaduan itu dengan tindakan,” katanya dan bukan sekadar kata-kata dan memastikan geran pendidikan awal dan komuniti (Tabika & KRT) disalurkan tanpa birokrasi, terutamanya di luar bandar Sarawak.
Bagi Sarawak, tambahnya, peruntukan ini diukur bukan sekadar dalam memupuk muhibah, tetapi terutamanya dalam menutup jurang akses dan kualiti perkhidmatan sosial antara Wilayah, sebagaimana yang dituntut oleh prinsip MA63.
Betong menyokong penuh dan mendesak pembinaan Pusat Aktiviti Perpaduan (PAP) di Betong, bukan sahaja untuk menjadi pejabat tetap JPNIN, tetapi juga tempat bagi Tabika, Taska dan aktiviti komuniti, tegas beliau.
Perpaduan sejati, katanya, hanya akan wujud apabila terdapat keadilan dan kesaksamaan ekonomi serta sosial.
