TOKYO: Kerajaan Sarawak diwakili Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dan Osaka Metropolitan University, Jepun memeterai Memorandum Persefahaman (MoU).
MouU itu antara lain bekerjasama dalam penggunaan satelit pemerhatian iklim (GOSAT).
MoU disaksikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini pada malam tadi (Isnin).
Ia disempurnakan Pengarah Jabatan Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad dan wakil Osaka Metropolitan University, Prof. Dr. Yayoi Takeuchi.
MoU turut melengkapi kerjasama sedia ada antara Kerajaan Sarawak dengan National Institute for Environmental Studies (NIES), Jepun yang telah dimeterai pada tahun 2023 atas mandat Premier Sarawak.
Kerjasama dalam penggunaan GOSAT bertujuan menilai dan memantau pelepasan gas rumah hijau (GHG) melalui Pertukaran Ekosistem Bersih (Net Ecosystem Exchange, NEE).
Bagi Sarawak, kerjasama ini akan memperkukuh tahap kredibiliti negeri dalam aspek pelaporan bebas bagi Pasaran Karbon Secara Sukarela (Voluntary Carbon Market), memandangkan satelit GOSAT berupaya menyediakan aliran data saintifik yang sahih dan bebas.
Selain itu, skop kerjasama turut merangkumi aktiviti penyelidikan bersama dalam bidang ekosistem hutan dan pemuliharaan biodiversiti, serta penerbitan bersama hasil penyelidikan antara kedua-dua pihak.
Delegasi seterusnya akan meneruskan lawatan rasmi ke Osaka di mana Hamden dijemput untuk menyampaikan syarahan bertajuk “Strengthening Forest Management Through Research, Monitoring and Innovation in Sarawak” pada 12 November 2025 di Osaka Metropolitan University.
