Penambahan anggota kabinet Sarawak cerminkan kepelbagaian pandangan, idea

KUCHING: Seorang wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengalukan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2025 bagi menambah ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, pindaan ini secara asasnya memberikan kuasa kepada Yang Di-Pertua Negeri, bertindak atas nasihat Premier Sarawak untuk melantik sehingga maksimum empat orang ahli tambahan ke dalam Kabinet Negeri.

Beliau melihat pindaan ini juga membuka ruang kepada lebih ramai wakil rakyat berpotensi untuk menyumbang secara langsung dalam pentadbiran negeri.

“Ini bukan sahaja memperluas penyertaan politik, tetapi juga memperkayakan kepelbagaian pandangan dan idea dalam proses merangka dasar-dasar baru kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Royston berkata, dalam konteks Sarawak yang berbilang kaum dan wilayah, kepelbagaian ini penting untuk memastikan dasar kerajaan mencerminkan keperluan semua lapisan masyarakat.

Di samping itu katanya, penambahan ahli MMKN akan membantu mempercepatkan proses membuat keputusan serta memperkukuh koordinasi antara kementerian dan pelbagai agensi.

“Ini akan memastikan dasar-dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih efisien dan berimpak tinggi kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.

Menurutnya, pelantikan tambahan ahli MMKN membolehkan penglibatan wakil rakyat yang mempunyai kepakaran dalam bidang strategik ini, sekaligus mempercepatkan pembangunan serta pelaksanaan projek berlandaskan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dengan lebih terjamin.