KUCHING: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) akan terus membendung penularan penyakit Demam Babi Afrika (ASF) terhadap ternakan khinzir.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben berkata ini termasuk memberikan taklimat kesedaran berterusan kepada masyarakat dan pemain industri dan mengekang kemasukan barang makanan berasaskan khinzir daripada sumber yang tidak dibenarkan.
Jabatan itu juga melarang pengimportan produk berasaskan khinzir dari negara yang terjangkit ASF; serta melaksanakan sekatan dan pemantauan terhadap produk khinzir terawat yang perlu mematuhi syarat import.
“Ia juga termasuk menguatkuasakan larangan pergerakan haiwan dan produk haiwan tanpa kebenaran JPVS; serta melarang aktiviti penyembelihan tanpa pemeriksaan di rumah sembelih yang berdaftar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Datuk Miro Simuh pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.
Martin berkata, JPVS juga melaksanakan pemantauan, membuat rampasan dan mengeluarkan kompaun terhadap individu yang melanggar peruntukan di bawah Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.
Selain itu, katanya Sarawak akan berupaya menghasilkan sebanyak 860,000 ekor khinzir bernilai RM1.5 bilion dengan nilai eksport sebanyak RM723 juta setahun menjelang 2030.
Berikutan itu, pihaknya melalui JPVS kini menjalankan rundingan dengan Kalimantan, Indonesia dan Pulau Pinang untuk mewujudkan protokol eksport bagi khinzir hidup.
