KUCHING: Inisiatif ekonomi hijau dan kitaran berpotensi menjana pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat Sarawak, sekali gus memperkukuh kestabilan ekonomi negeri ini, menurut Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Dato Fazzrudin Abdul Rahman.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong berkata, ekosistem bahan lestari dijangka membuka peluang pekerjaan baharu dalam bidang seperti kitar semula dan pemulihan sumber, reka bentuk produk lestari, logistik hijau, kejuruteraan biomaterial, dan pembuatan kitaran.
Mengambil contoh daripada Jerman dan Korea Selatan, beliau menjelaskan, kedua-dua negara berjaya mewujudkan pelbagai pekerjaan baharu dalam teknologi sisa, kelestarian bandar, dan pemulihan sumber yang membuktikan bahawa kelestarian adalah pencipta pekerjaan.
“Adalah penting untuk meneliti kisah kejayaan ini bagi membina keyakinan untuk melaksanakan inisiatif ini. Teknologi mungkin mengurangkan sesetengah pekerjaan, tetapi ia juga mewujudkan lebih banyak pekerjaan baharu yang bernilai maka kita perlu belajar dari pengalaman ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan RUU Pengurusan Sumber Lestari dan Sisa semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 hari ini.
Beliau menambah, ekonomi kitaran turut dijangka memperkukuh ketahanan negara secara jangka panjang di mana ekonomi konvensional moden menghadapi gangguan rantaian bekalan, kekurangan sumber, dan turun naik harga global.
