Khatam al-Quran jadi landasan bentuk generasi beradab, berilmu

MATU: Majlis Khatam al-Quran anjuran Sekolah Kebangsaan (SK) Bruan Mapal bukan sekadar acara pengiktirafan kepada pencapaian murid, malah menjadi platform melahirkan generasi Islam yang berakhlak mulia, berilmu dan beradab tinggi.

Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, pembudayaan membaca dan memahami al-Quran perlu dijadikan amalan berterusan kerana ia menjadi tunjang membentuk sahsiah pelajar, khususnya luar bandar.

Beliau berkata demikian pada Majlis Khatam al-Quran dan Majlis Kecemerlangan Program Sahabat Sekolah Indah Water Konsortium (IWK) berlangsung di sini, semalam.

Ahmad Johnie yang juga Pengerusi Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd, berkata, inisiatif SK Bruan Mapal yang tidak hanya menumpukan kecemerlangan akademik, tetapi turut memberi perhatian kepada pembangunan rohani dan disiplin pelajar, wajar dijadikan contoh.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan peranan ibu bapa sebagai rakan pendidikan amat penting untuk memastikan pembentukan karakter pelajar berjalan seiring dengan proses pembelajaran di sekolah.

“Kejayaan anak-anak tidak boleh diletakkan di bahu guru semata-mata. Sokongan dan perhatian ibu bapa menjadi pelengkap kepada kejayaan mereka,” tegasnya.

Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan bantuan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM10,000 kepada SK Bruan Mapal dan RM14,000 kepada Pejabat Pendidikan Daerah Daro sebagai sokongan terhadap pembangunan pendidikan di kawasan berkenaan.

Selain itu, IWK turut menyumbangkan satu set papan pintar bagi memperkukuh pelaksanaan pembelajaran digital di sekolah tersebut.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam.