MUKAH: Pemasangan lampu isyarat pintar di simpang Jalan Wawasan di sini dijangka beroperasi pada 24 Disember ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine berkata, ketika ini baki kerja hanya melibatkan kerja-kerja akhir seperti pembersihan kawasan, penandaan jalan serta pelarasan pengesan yang dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh satu hari.
“Lampu isyarat pintar ini penting bagi memastikan kelancaran aliran trafik menjelang musim perayaan Krismas,,” katanya semasa meninjau kemajuan projek tersebut hari ini.
Beliau menzahirkan terima kasih kepada Pejabat Residen Bahagian Mukah, Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) selaku agensi pelaksana, kementerian berkaitan di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) serta kontraktor atas komitmen menyiapkan projek mengikut spesifikasi dan kualiti.
Royston menjelaskan, sebelum ini projek tersebut berdepan cabaran melibatkan isu kabel bawah tanah dan utiliti yang memerlukan penyelarasan bersama Sarawak Energy Supply Corporation (SESCO), namun, kerja-kerja pembinaan dapat diteruskan dengan segera selepas isu berkenaan berjaya diselesaikan.
