SADONG JAYA: Seramai 145 pelajar dari Daerah Kecil Sadong Jaya menerima manfaat Program Kembali Ke Sekolah Parlimen P.200 Batang Sadong Tahun 2026 di Dewan Masjid Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yaakub, di sini,semalam.
Program menyalurkan pelbagai kelengkapan asas persekolahan itu bertujuan membantu pelajar daripada keluarga yang memerlukan membuat persediaan awal sebelum sesi persekolahan baharu bermula pada 11 Januari ini.
Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee berkata, penerima terdiri daripada 100 murid sekolah rendah dan 45 pelajar sekolah daripada 13 sekolah di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Samarahan.
“Saya berharap program seumpama ini dapat diteruskan dan diperkasakan pada masa hadapan dengan penglibatan lebih ramai pihak.
“Ini bagi memastikan tidak ada anak di Parlimen Batang Sadong tercicir daripada arus pendidikan,” katanya semasa merasmikan program tahunan terbabit anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Batang Sadong.
Beliau diiringi Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Datuk Ir Aidel Lariwoo.
