Kedudukan strategik jadikan Sarawak hab semikonduktor negara

KUCHING: Sarawak bersedia mengorak langkah sebagai pemain penting dalam industri semikonduktor negara, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau berkata, ini kerana Sarawak mempunyai hasil kelebihan strategik dari segi tenaga, lokasi dan ekosistem pelaburan.

“Malah, kedudukan geografi Sarawak strategik serta kestabilan bekalan tenaga hijau menjadikan negeri ini menjadi destinasi berpotensi bagi pelaburan industri berteknologi tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi perbincangan bersama Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA), di sini, hari ini.

Awang Tengah menjelaskan, Sarawak berada di tengah laluan utama Asia dan mempunyai kerjasama strategik di peringkat antarabangsa sekali gus memberi kelebihan daya saing dalam rantaian bekalan global.

“Industri ini memerlukan bekalan tenaga yang konsisten dan cekap. Sarawak mempunyai kekuatan besar dalam aspek ini, khususnya melalui sumber tenaga boleh diperbaharui yang mampan,” katanya

Tambah beliau, penggunaan tenaga hijau bukan sahaja menyokong operasi industri, malah meningkatkan nilai produk semikonduktor yang dihasilkan, selari dengan keperluan pasaran antarabangsa.

Beliau turut menekankan keperluan memperluas jaringan kerjasama antarabangsa dengan negara-negara utama dalam industri semikonduktor seperti Amerika Syarikat, Taiwan, China dan Singapura bagi memastikan Sarawak terus berdaya saing serta relevan di peringkat global.