KUCHING: Pengagihan wang ihsan kepada 219 pemilik rumah yang terjejas akibat projek pembetungan di kawasan Petra Jaya dibuat berdasarkan penama pemilik ketika data dikumpul Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) selepas peruntukan dilulus Oktober 2022.
Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Ir Irwan Zulkarnain Dato Muhammad Hasbie berkata, peruntukan itu direalisasikan hasil usaha Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Amar Fadillah Yusof yang membawa isu tersebut ke peringkat Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut melawat kediaman mangsa terlibat di Kampung Tunku pada Oktober 2021 sebelum meluluskan peruntukan wang ihsan pada tahun berikutnya.
Beliau menjelaskan perkara itu susulan dakwaan seorang pengadu yang dilaporkan oleh sebuah akhbar tempatan pada Sabtu lalu, mendakwa belum menerima wang ihsan berkenaan.
Irwan berkata, JKKK Kampung Tunku dipertanggungjawabkan mendapatkan butiran pemilik rumah termasuk nama dan akaun bank untuk dikemukakan kepada Pejabat Pembangunan Negeri (SDO) Sarawak bagi tujuan pembayaran.
Untuk rekod, pemilik asal rumah terjejas telah membuat tuntutan pampasan daripada kontraktor sejak 2018, manakala peruntukan wang ihsan diperoleh pada Oktober 2022 sebelum proses pengumpulan data dimuktamadkan.
Dalam kes pengadu, beliau memaklumkan rumah berkenaan dibeli dengan pertukaran hak milik disempurnakan pada 14 Disember 2022, iaitu selepas data penerima wang ihsan dikemukakan kepada SDO dan cek diagihkan pada Januari 2023.
Tambahnya, laporan polis yang dibuat pengadu pada 2024 telah disiasat dan semua pihak berkaitan diambil keterangan, namun didapati tiada kes untuk tindakan lanjut.
