KUCHING: Syarikat penerbangan baharu AirBorneo, menyasarkan untuk memiliki sekurang-kurangnya tiga pesawat jet.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, bagaimanapun sasaran itu bergantung kepada pasaran penerbangan global yang ketika ini berdepan kekangan bekalan pesawat sama ada untuk pembelian atau sewaan.
“Kerajaan negeri berharap memperoleh sekurang-kurangnya sebuah pesawat jet milik AirBorneo sebelum September tahun depan,” katanya.
“Kita sedang merancang untuk memperluaskan peranan AirBorneo daripada Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) kepada penerbangan domestik dan serantau, termasuk laluan ke Semenanjung Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat delegasi pengurusan AirBorneo yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin, di sini, hari ini.
Abdul Karim menjelaskan, perancangan tersebut sejajar dengan pelantikan AirBorneo sebagai syarikat penerbangan rasmi bagi Sukan Asia Tenggara (SEA) 2027, yang mana pembukaannya dijadual berlangsung di negeri ini.
“Walaupun pesawat berkenaan mungkin belum digunakan untuk penerbangan komersial sepenuhnya, ia boleh beroperasi sebagai penerbangan sewaan atau ‘charter’ dengan membawa penjenamaan AirBorneo bagi tujuan rasmi temasya sukan,” jelasnya.
Beliau menambah, cadangan tersebut sudah dibincang dalam mesyuarat perancangan awal temasya sukan berkenaan.
