KUCHING: Sambutan Tahun Baharu Cina yang diraikan dalam suasana meriah seharusnya disertai dengan tahap kesedaran keselamatan yang tinggi bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini, khususnya melibatkan risiko kebakaran.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim berkata musim perayaan lazimnya menyaksikan peningkatan potensi bahaya susulan penggunaan mercun dan bunga api, aktiviti memasak yang berterusan serta pemasangan lampu hiasan dan peralatan elektrik secara berlebihan.
“Kegembiraan menyambut perayaan bersama keluarga boleh bertukar menjadi detik menyedihkan sekiranya aspek keselamatan diabaikan.
“Orang ramai perlu sentiasa berwaspada dan tidak mengambil mudah langkah pencegahan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangan Angpau dan Limau Tahun Baharu Cina DUN N17 Stakan yang diadakan di Dewan Persatuan Masyarakat Muara Tuang, di sini, hari ini.
Katanya, lawatan ke rumah sebuah keluarga yang terjejas akibat kebakaran di kawasan DUN Stakan minggu lalu memberi kesan apabila kediaman berkenaan musnah teruk dan menjejaskan kehidupan sekeluarga dalam sekelip mata, sekali gus mendorong beliau menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati.
Dalam majlis sama, sumbangan angpau dan limau turut diagihkan kepada tujuh komuniti melibatkan seramai 210 penerima sebagai simbol keprihatinan dan semangat kebersamaan sempena perayaan.
