337 lokasi blind spot telekomunikasi di Sarawak

BINTULU: Kerajaan Sarawak mengenal pasti sebanyak 337 lokasi blind spot telekomunikasi di sepanjang laluan utama negeri ini.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, berkata lokasi berkenaan termasuk di Lebuh raya Pan Borneo (LPB), Jalan Pesisir dan Jalan Utama Kedua.

Katanya, ini dikenal pasti menerusi kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Sarawak Multimedia Authority (SMA), AZTECH dan SACOFA.

“Kita mahu memastikan sebanyak mungkin kawasan berkenaan mendapat liputan telekomunikasi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Connecting Jepak di sebuah hotel di sini, hari ini.

Julaihi berkata, ini termasuk menerusi pelaksanaan Jaringan Digital Negara (JENDELA) Fasa Dua dan ini adalah sebahagian pendekatan intervensi Kerajaan Sarawak bagi melengkapkan pembangunan infrastruktur telekomunikasi yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan.